Neelofa dikatakan bakal berkahwin tahun depan, ini jawapan tidak disangka dari Lofa

PELAKON dan pengacara popular, Neelofa menafikan khabar angin kononnya dia bakal menamatkan zaman bujang pada tahun 2020 seperti yang bertebaran ketika ini.

Malah, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 30, berkata, tiada sebarang perbincangan yang berlaku antara ahli keluarga melibatkan urusan perkahwinannya itu.

“Sejujurnya memang tiada apa-apa langsung yang dibincangkan dalam kalangan ahli keluarga mengenai perkahwinan saya.

“Tahun hadapan akan menjadi tahun adik lelaki dan sepupu-sepupu saya yang akan berkahwin.

“Dalam kesibukan perancangan untuk mengembangkan kerjaya di negara jiran jelas sekali ia menyangkal gosip yang timbul,” katanya kepada mStar.

Neelofa ditemui pada sidang media majlis pelancaran koleksi kasut kolaborasi bersama jenama antarabangsa Giuseppe Zanotti di Pavilion, Kuala Lumpur, pada Khamis.

Tambah Neelofa, tiada sebab untuk dia merahsiakan perihal perkahwinannya jika ia benar berlaku.

Malah, dia gembira dan terbuka untuk berkongsi berita baik itu kepada peminatnya.

“Mungkin sebab umur saya sudah 30 tahun jadi mereka ingat saya nak berkahwin.

“Lagipun tiada sebab untuk saya berahsia mengenai perkahwinan. Percayalah, kalau ada seseorang, saya pasti akan kongsikan.

“Ini bukan zaman dulu-dulu nak sorok-sorok bercinta. Andai saya ada rancangan untuk melangkah ke fasa seterusnya, saya akan kongsikan kepada anda,” katanya.

Selain itu, pengacara program MeleTop ini berkata, dia belum bersedia untuk memberikan komitmen terhadap lelaki kerana mahu fokus terhadap kerjayanya terlebih dahulu.

“Sebenarnya saya rasa bersyukur kerana belum ada lagi pasangan atau anak untuk diberikan komitmen. Mungkin perkara itu menyebabkan saya tak boleh nak fokus dengan keluarga dan bukannya kerjaya.

“Masing-masing ada target dan impian mereka sendiri. Mujur saya tidak terburu-buru untuk kahwin dulu,” katanya.

Sumber Mstar

Be the first to comment on "Neelofa dikatakan bakal berkahwin tahun depan, ini jawapan tidak disangka dari Lofa"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*