Hidap HIV selepas terlanjur dengan rakan sekampus, jurutera teruja bakal timang anak

TIDAK dinafikan penghidap HIV atau kini dikenali sebagai Orang Yang Hidup Dengan HIV (PLHIV) sentiasa berdepan dengan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat gara-gara penyakit mereka.

Walaupun pelbagai program kesedaran dianjurkan, masih ada masyarakat menganggap golongan ini menjijikkan serta penuh dengan dosa!

“Saya nekad mendedahkan bahawa saya seorang PLHIV (People Living with HIV) yang kini sudah berkahwin dan bakal mempunyai anak.

“Ada yang DM (direct message) mencerca dan menghina diri saya dengan kata-kata negatif. Saya baca satu persatu penghinaan yang diberikan,” luah Ammar Aziz menerusi satu posting yang dimuatnaik di akaun Twitter miliknya, Oktober.

Dikenali sebagai Ammar, dia secara peribadi berkata dirinya sedikit pun tidak terkesan dengan cacian dan hinaan orang sekeliling yang dilemparkan ke atasnya.

Jelasnya, dia didiagnosis HIV sekitar 2015, ketika usianya 23 tahun dan mendapat penyakit itu melalui hubungan bersama rakannya yang juga disahkan positif HIV.

“Ketika itu saya bergelar siswa tahun akhir di sebuah universiti tempatan,” katanya ketika dihubungi mStar.

Menceritakan kisah hidupnya, Ammar berkata ketika pertama kali melakukan ujian darah di sebuah klinik kesihatan, statusnya masih negatif, namun dia didiagnosis positif HIV semasa kali kedua melakukan ujian tersebut.

“Selepas ujian darah kali pertama negatif, saya masih sangsi dan bagi memastikan saya betul-betul clean, selepas tiga bulan saya lakukan ujian sama dan malangnya, saya disahkan positif HIV selepas kali kedua buat ujian,” kongsinya.

Seperti pesakit HIV yang lain, lelaki berusia 27 tahun ini mengakui turut mengalami kemurungan selepas didiagnosis membawa virus berkenaan.

“Tipulah kalau saya tak rasa down dan putus asa. Saya sangat kesal bila dapat tahu keputusan itu tetapi saya bangkit dengan cepat dan tidak mengambil masa terlalu lama untuk bersedih.

“Dua bulan selepas disahkan positif HIV, saya terus dapatkan rawatan serta nasihat doktor dengan mengambil ubat. Tempoh dua bulan pertama, memang saya tak akan lupa kerana pelbagai persoalan bermain di fikiran termasuk soal mati, kahwin, tak akan ada anak dan menunggu mati tanpa pewaris.

“Bagaimanapun, semua itu memberi kekuatan dan saya terus bermuhasabah diri,” luah Ammar.

Dia yang kini berkerja sebagai jurutera projek di sebuah syarikat mengakui sedang melalui fasa yang jauh lebih tenang berbanding sebelum ini.

“Sejujurnya kehidupan saya sekarang lebih baik dari dulu. Status PLHIV banyak mengubah saya ke arah yang lebih baik dan kehidupan yang lebih bahagia. Saya jalani kehidupan seperti biasa, cukup waktu makan ubat dan rutin yang sama berulang sampaikan kadang tak rasa diri ada HIV.

“Mungkin dulu saya membenci perkara ini, tetapi bila saya lihat dengan mata hati, sesungguhnya banyak hikmah yang Allah berikan kepada saya,” kata anak kelahiran Selangor ini.

Kongsi Ammar lagi, hanya dua insan tersayang dan paling dipercayai sahaja yang tahu mengenai statusnya sebagai PLHIV iaitu ibu dan isterinya.

“Ibu tahu sejak awal ketika saya didiagnosis positif HIV. Saya terpaksa beritahu sebab saya tak sanggup nak menipunya dan setahun sebelum kahwin saya telah berterus terang dengannya.

“Alhamdulillah kedua-duanya terima dengan baik, malah merekalah yang banyak beri sokongan dan semangat. Sejujurnya saya dah bersedia dengan sebarang kemungkinan berlaku selepas saya beritahu isteri yang saya seorang PLHIV. Saya cakap, saya sayangkan dia dan ingin jadikan dia sebagai isteri.Tetapi saya seorang PLHIV.

“Selepas saya terangkan semua itu isteri saya cuma kata, yang lepas biarkan berlalu dan apa yang penting kehidupan kita pada masa hadapan. Sebenarnya saya terkejut bila dia guna perkataan ‘kita’,” luahnya.

Jelas Ammar, dia dan isteri mendirikan rumah tangga pada Disember tahun lalu dan kini isterinya hamil anak sulung mereka dengan usia kandungan 37 minggu.

“Saya bersyukur, 26 November lalu result darah kekal status Undetectable Viral Loads (UVL), bermakna semua OK tak ada masalah, Alhamdulillah. Malahan, saya bersyukur kerana isteri dan anak juga tidak dijangkiti virus ini,” kongsi Ammar.

Bagaimanapun, Ammar bersyukur kerana dia berada dalam persekitaran positif dengan dikelilingi insan yang sentiasa menyokongnya.

Tambah Ammar, dia tidak menafikan bahawa terdapat segelintir masyarakat menyisihkan serta memberi pandangan serong terhadap mereka yang membawa virus HIV itu.

“Jangan terlalu menghukum, saya faham kenapa masyarakat ada stigma kepada golongan seperti kami. Ini disebabkan penyakit HIV ini diperolehi daripada sumber yang negatif seperti seks bebas, pengambilan dadah dan sebagainya.

“Semua orang pernah buat salah, tapi masyarakat perlu menyokong serta memberi semangat kepada golongan ini untuk memperbaiki diri masing-masing,” katanya.

Sumber Mstar

Be the first to comment on "Hidap HIV selepas terlanjur dengan rakan sekampus, jurutera teruja bakal timang anak"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*