Jual kangkung nekad sambung belajar

JIKA tidak dipecah ruyung, manakan dapat sagunya. Itu antara peribahasa yang menjadi panduan buat remaja penjual kangkung yang berusaha mencari wang simpanan untuk melanjutkan pelajarannya.

Muhammad Iskhandar Mokhtar, 18, mengambil inisiatif berniaga kangkung hasil tanaman bersama bapanya, Mokhtar Yakub, 49, untuk dijadikan duit simpanan.

Dia yang juga anak sulung daripada dua beradik, menerima tawaran belajar dalam bidang Diploma Kejuruteraan Mekatronik di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor, Ogos ini.

“Sebaik menerima surat tawaran ini, saya tersenyum gembira namun dalam masa yang sama risau dan sedih memikirkan pembiayaan di sana. Malah, kos persediaan sebelum ke sana juga belum tentu cukup menyebabkan saya terfikir untuk melupakan hasrat melanjutkan pelajaran.

“Bagaimanapun, saya cuba mencari jalan sementara masih ada masa dengan menjual kangkung di sekitar kampung walaupun hasilnya tidak seberapa. Sekurang-kurangnya dapat meringankan beban bapa dan ibu, Maimi Abd Rahman, 49.

“Hidup kami sekeluarga seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, yang mana ibu bapa saya hanya penoreh getah. Saya tahu besar harapan kedua-dua orang tua untuk melihat saya berjaya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kok Kiyeh, Gual Sitok, Rantau Panjang, semalam.

MUHAMMAD Iskhandar menunjukkan surat tawaran untuk melanjutkan pelajaran kepada ibu bapanya. FOTO Syaherah Mustafa
MUHAMMAD Iskhandar menunjukkan surat tawaran untuk melanjutkan pelajaran kepada ibu bapanya. FOTO Syaherah Mustafa

Muhammad Iskhandar menjual kangkung dengan harga seringgit seikat, hanya mampu memperoleh RM10 sehingga RM15 sehari dan hasil jualan terbabit disimpan untuk membeli barangan persiapan serta menyediakan dokumen penting.

Katanya, pada awalnya dia berasa putus asa tetapi selepas dinasihati bapa, dia bangkit mencari peluang untuk mendapatkan wang selain berharap dapat memohon Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) nanti.

“Tak kisahlah kena jual kangkung sekalipun, kerana ia tetap rezeki halal, hasil saya dan bapa berbudi pada tanah. Walaupun wang saya dapat tidak seberapa tetapi ia bernilai bagi kami sekeluarga.

“Jauh di sudut hati saya memang mahu melanjutkan pelajaran kerana saya sedar hanya dengan peluang ini saya boleh memajukan diri selain merubah nasib keluarga saya menjadi lebih baik.

“Setiap hari saya berdoa semoga urusan saya dipermudahkan selain diberi rezeki seluas-luasnya buat kami sekeluarga. Saya berharap tawaran ini menjadi titik permulaan untuk saya berjaya,” katanya yang turut mendapat perhatian Yayasan Raja Shamri.

Muhammad Iskhandar sebelum ini pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gual Periok, Rantau Panjang mengakui keluarganya tidak pernah menerima sebarang bantuan dan hanya mengharapkan pendapatan ibu bapa yang tidak menentu hasil menoreh getah.

MUHAMMAD Iskhandar mengutip kangkung untuk dijual. FOTO Syaherah Mustafa
MUHAMMAD Iskhandar mengutip kangkung untuk dijual. FOTO Syaherah Mustafa

 

Apa pendapat anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen dan Share Ya. Terima Kasih ! Berita Stedy Press

Sumber : Harian Metro

Be the first to comment on "Jual kangkung nekad sambung belajar"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*