“Memang logik untuk kahwin…” Neelofa Berdebar

Setelah tidak lagi mengacarakan program MeleTop, selebriti terkenal, Neelofa, 31, kembali dalam bidang pengacaraan apabila muncul dengan program Next To Neelofa yang mula bersiaran sejak Khamis lalu.

Ia sekali gus menjadi pengubat rindu peminat Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor yang mahukan dirinya mengacara semula di kaca TV.

Menariknya, program berdurasi satu jam itu memaparkan cerita dan perkongsian eksklusif daripada tetamu jemputan yang hadir.

Menurut Neelofa, dia berdebar menantikan tayangan episod pertama lalu yang menampilkan bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Hans Isaac.

Berdebar dengan Hans Isaac

“Sejujurnya, kecut perut juga masa nak tunggu episod pertama ditayangkan. Malah, ketika ia ditayangkan saya berdebar. Bukan apa, saya risau jika program ini tidak dapat diterima khalayak semasa kerana MeleTop diterima baik.

“Tapi, sepanjang siaran dan selepas habis, saya lebih daripada bersyukur. Maklum balas diterima bagus. Saya sangat puas hati. Saya berharap rancangan ini ditonton semua,” katanya.

Buktinya, episod pengenalan pada 23 Julai lalu yang ditayangkan di saluran Astro Ria dan Ria HD itu menjadi ‘trending’ di Twitter.

Neelofa yang juga pelakon Suri Hati Mr Pilot berkata, idea menghasilkan program itu timbul sejak lima tahun lalu.

Namun, disebabkan kekangan masa ditambah dengan komitmen kerjaya lain, perkara itu terpaksa dilupakan seketika sehingga pihak Astro menyuarakan perkara itu.

“Idea untuk program ini saya dapat sejak lima tahun lalu. Daripada pihak Astro pula ia tercetus ketika hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong lalu. Kalau ikutkan program ini dibuat lebih awal lagi, tapi saya minta tunda dulu.

“Sehingga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perkara ini tertunda lagi. Tapi, selepas itu pihak Astro terus memberikan tarikh bagi kami memulakan penggambaran. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar.

“Kalau ikutkan untuk musim pertama ini ada lapan episod saja, tapi disebabkan pihak Astro berpuas hati dan suka, jadi tambah empat episod lagi. Insya-Allah, pihak penerbitan juga dalam perancangan untuk musim kedua,” katanya.

Lama juga nak dapat tajuk

Dalam masa sama, Neelofa juga berkongsi pemilihan nama program itu mengambil masa yang panjang.

“Nak mencari tajuk program ini makan masa berbulan. Saya nak buat program ini kalau ada pembabitan saya secara langsung dan bukan menjadi hos semata-semata. Saya bersetuju kalau betul-betul mempunyai pasukan berkualiti.

“Jadi, tajuk ini ringkas dan mudah difahami selain kedengaran eksklusif dan premium. Malah, dengan adanya nama saya ia ada kelainan. Sebelum itu, ada juga beberapa tajuk lain, tapi ini yang dirasakan terbaik dan dipersetujui ramai. Selain itu, senang orang nak ingat nama rancangan ini,” katanya.

Selain Hans, episod yang sudah dirakam turut menampilkan beberapa figura terkenal lain seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Rizalman Ibrahim, Puan Sri Tiara Jacquelina, Ella dan Chryseis Tan.

“Setiap individu yang ditemu bual ada aura berbeza. Jadi ada inspirasi berbeza daripada setiap mereka. Malah, ada perkongsian eksklusif menjadikan rancangan ini sedikit berbeza.

“Insya-Allah, pada musim akan datang saya cuba nak membawakan artis dari luar negara pula seperti Bunga Citra Lestari, Syahrini, Krisdayanti dan ramai lagi. Apa pun, kena tunggu sehingga wabak Cov1d-19 ini reda.

“Malah, pihak produksi juga dalam proses cuba mendapatkan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Insya-Allah,” katanya.

Mungkin kahwin tiga atau empat tahun lagi

Tidak lepas dari persoalan jodoh, Neelofa sekali lagi menegaskan dia akan berkongsi perkara itu jika semuanya sudah kukuh dan mendoakan yang terbaik daripada semua.

“Soal kahwin bagi saya terlalu sangat banyak versi cerita dan saya dikaitkan dengan beberapa orang sebelum ini. Tidak akan saya kongsi atau berikan kata putus selagi itu (berkahwin) tidak terjadi dalam hidup saya.

“Saya akan beritahu rakan media, akan kongsi kalau perkara yang baik ini akan berlaku. Saya gemar untuk kongsikan ia dengan semua orang.

“Apa yang boleh saya minta sekarang ialah doa yang baik. Contohnya supaya saya menjadi anak, isteri dan bertemu jodoh yang baik. Itu saja yang saya minta. Tak mahu orang buat gosip, buat telahan itu dan ini,” katanya.

Memang logik nak kahwin

Menurut Neelofa, ramai beranggapan pada usia sekarang adalah masa terbaik untuk dia berumah tangga.

“Kalau nak diikutkan pada usia saya sekarang, memang logik untuk berkahwin. Memang relevan untuk ditanya hal itu.

“Kalau ditanya, sejujurnya, saya mungkin akan mendirikan rumah tangga dalam tiga atau empat tahun lagi mengenangkan komitmen lain yang perlu saya selesaikan.

“Bagaimanapun, ia mengikut kepada situasi, misalnya apa yang berlaku sekarang dan sebagainya,” katanya.

Dalam masa sama Neelofa menyifatkan, Riz sebagai pendakwah muda yang bagus, bijak dan mempunyai tarikan tersendiri.

“Kami sudah saling bekerjasama sejak tiga ke empat tahun lalu. Malah, selepas isu pelancaran tudung di sebuah pusat hiburan dulu pun, sejak itu kami banyak lakukan bersama.

“Misalnya bersama dengan Ustaz Tarmizi dan Haris (PU Riz) sendiri. Kebanyakan program yang dilakukan tidak membabitkan media dan hanya tertumpu kepada pasukan Naelofar Hijab. Jadi ia tidak terlalu didedahkan.

“Malah, sebelum ini pun ada juga kami lakukan bersama seperti majlis berbuka puasa dan sesi tazkirah. Cuma sekarang ada yang kaitkan mungkin kerana pembabitannya lebih kerap. Contohnya menerusi Pertubuhan Kasih Neelofa, Haris adalah sebagai jurucakap pertubuhan ini. Boleh dikatakan, dua ustaz ini antara individu yang kerap saya bekerjasama.

“Dia seorang yang mempunyai asas agama yang bagus. Maksudnya, bagi saya dia seorang pendakwah yang boleh menarik minat ramai untuk mendengar. Ia satu perkara yang mungkin tidak ramai orang ada. Dia juga bijak,” katanya.

Apa kata anda? Jangan lupa komen yang baik baik je !

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Berita Stedy Press

Sumber : Rimbabara Daily

Be the first to comment on "“Memang logik untuk kahwin…” Neelofa Berdebar"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*