Mas Idayu Umum Nikah 16 September, Terima Tajaan Bernilai RM7 Juta

Penyanyi dangdut, Mas Idayu mengesahkan dia bakal mendirikan rumah tangga bersama Penerbit Eksekutif TV3, Mohd Suffian Isa, 51, pada 16 September depan.

Pasangan berkenaan bakal diijabkabulkan dalam majlis yang akan berlangsung di Magica Hall, Quill Mall, Kuala Lumpur.

Bakal menjadi wedding of the year, majlis pernikahan dan resepsi penyanyi yang popular dengan lagu Senggol-Senggolan, Cubit-Cubitan akan menerima tajaan bernilai RM7 juta.

Tajaan itu merangkumi lokasi majlis, busana persalinan, set barangan kemas tajaan Habib Jewels, katering dan perkhidmatan video dan fotografi untuk hari bahagianya itu.

Berbesar hati menerima tajaan sebesar itu Mas Idayu atau nama sebenarnya, Mas Idayu Mesnun, 50, berkata meski ia adalah perkahwinan kedua namun dia tetap teruja.

“Sebenarnya tiada sebab spesifik saya pilih tarikh 16 September ini, kebetulan ia Hari Malaysia jadi mudah ingat sebab saya jenis pelupa bab-bab tarikh.

“Alhamdulillah, saya tidak jangka akan menerima tajaan sebesar ini untuk perkahwinan kali kedua dan berterima kasih kepada semua penaja.

“Walaupun mendapat tajaan, namun saya akan turut sama memberikan idea termasuk tema perkahwinan, rekaan baju serta pemilihan aksesori barangan kemas untuk hari bahagia itu nanti,” katanya kepada MH.

Mas Idayu ditemui pada majlis memperkenalkannya produk penjagaan kulit miliknya, Twenty yang berlangsung di Magica Hall, Cheras pada Ahad.

Bercerita lanjut mengenai majlis perkahwinannya, Mas Idayu berkata dia hanya akan mengadakan satu majlis resepsi sahaja pada hari sama dengan pernikahan.

“Majlis pernikahan akan diadakan jam 10 pagi dan resepsi di tempat sama pada waktu malam.

“Saya memilih tema fairy tale dan semua tetamu diberikan dress code untuk memakai baju berwarna ungu,” katanya lagi.

Bakal berbulan madu di Santorini, Greece, penyanyi lagu Cintaku 100 Percent itu juga berkata dia dan bakal suami akan berehat dua minggu selepas itu bagi melayari fasa baharu.

Mas Idayu pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon Aman Graseka pada 1997 sebelum bercerai pada 2006.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan Nur Dayini Ashiqah, 25 tahun.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Berita Stedy Media

Sumber : Media Hiburan

Be the first to comment on "Mas Idayu Umum Nikah 16 September, Terima Tajaan Bernilai RM7 Juta"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*