Pembantu Rumah Balik Kampung, Mira Filzah Tak Yakin Serah Anak Pada Pengasuh Baharu

PELAKON Mira Filzah mengakui bimbang untuk menyerahkan anaknya iaitu Wan Khair Amir ke tangan pengasuh baharu selepas pembantu rumahnya pulang ke kampung halaman kerana hal kecemasan.

Kata Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 29, agak sukar untuk dia membina kepercayaan terhadap orang baharu memandangkan pembantunya sebelum ini melakukan tugas dengan begitu baik.

“Bukan tak nak panggil pembantu datang setiap hari tapi susah nak bina kepercayaan dengan orang. Kita dah bina kepercayaan dengann pembantu kita itu baru kerja lima bulan dah kena balik.

Mira Filzah susah nak percaya pembantu baharu.

“Dia bagus sangat-sangat Alhamdulillah tapi Allah lebih tahu yang terbaik. InsyaAllah ada hikmah yang baik-baik,” katanya.

Mira berkongsi perkara itu menerusi Instastory miliknya pada Khamis.

Tambah Mira, sejak tiada pembantu dia tidak pernah berenggang dengan Amir sekali gus membuatnya kagum dengan ibu-ibu yang berjaya menjaga anak tanpa bantuan.

“Sejak kebelakangan ini, saya kurang mengemaskini (media s0sial) sebab pembantu rumah sudah balik dua minggu lepas atas urusan kecemasan selama lebih kurang dua bulan.

“Amir ada dengan mama (gelaran dirinya) 24 jam kerana tiada sebarang majlis dan penggambaran.

“Saya tidak tahu bagaimana ibu lain boleh melakukan, tetapi masyaAllah hebatnya mereka jaga anak sendiri tanpa pembantu,” katanya lagi.

Nak tinggal macam tak boleh. Bila dah jaga Amir sendiri ini berat hati nak tinggalkan dia.

Disebabkan itu, dia turut merancang untuk membawa Amir mengikutinya ke tempat kerja pada Januari depan memandangkan masih belum bertemu dengan pengasuh yang sesuai.

“Mama pula nak mula kerja balik. Nanti nak bawa Amir pergi ikut bersama Januari ini. Nak tinggal macam tak boleh. Nanti mama yang menangis.

“Bila dah jaga Amir sendiri ini berat hati nak tinggalkan dia. Lagi tak nak berenggang. Susah hati nak bekerja selagi tak jumpa penganti pembantu yang baik dan boleh jaga Amir, sayang Amir macam anak sendiri.

Mira rancang nak bawa anak ke tempat kerja.

“Semoga Allah temukan kita dengan orang yang baik okay Amir? Semoga Allah berikan Amir pembantu yang baik, bertanggungjawab, sayang Amir dan paling penting jujur dan ikhlas nak kerja,” ujarnya.

Untuk rekod, Mira mendirikan rumah tangga dengan Wan Emir Astar pada 3 September 2020.

Pasangan ini dikurniakan anak sulung pada 10 Mei lalu.

 

Sumber: Mstar

Be the first to comment on "Pembantu Rumah Balik Kampung, Mira Filzah Tak Yakin Serah Anak Pada Pengasuh Baharu"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*